Tuesday, December 25, 2012

“Cinta Hadir Tanpa Diduga…”


Menyusuli drama ‘Runtun Qalbu’ di slot Zehra, sebuah drama siri 13 episod berjudul ‘Hanya Padamu’ menampilkan tonggak utama, Zahiril Adzim, Beto Kusyairy dan Nazeera Sardi, dibantu oleh Emelda Rosmila dan Khayrisyah Kemal. ‘Hanya Padamu’ yang diterbitkan oleh produksi Filmscape Sdn. Bhd. bakal ditayangkan bermula 28 Disember ini, pada setiap hari Jumaat jam 9.00 malam.

Drama ini diarahkan oleh sutradara Faisal Ishak manakala nukilan skripnya oleh Maizurah Ederis, ia berkisar  tentang perit liku seorang gadis berhadapan qada’ dan qadar yang telah ditentukan Maha Esa namun masih cekal sebelum dilanda dilema perasaan. Kisah bermula apabila seorang kanak-kanak bernama Adawiyah (Nazeera Sardi), anak yatim piatu yang tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya iaitu Sabariah dan Omar namun dia dibenci oleh Sabariah atas sebab yang tidak diketahui.

Suatu hari, Omar diserang strok dan tidak lama kemudian, dia meninggal dunia. Sejak itu, Sabariah menyeksa Adawiyah dan juga memberhentikan Adawiyah dari sekolah. Cikgu kecewa kerana Adawiyah merupakan antara pelajar terbaik dan calon harapan sekolah untuk mendapat 5A. Anak Sabariah, Bukhari (Zahiril Adzim) cuba menegur sikap ibunya tetapi tidak diendah oleh Sabariah. Pada masa yang sama, Bukhari mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dua tahun kemudian, Bukhari berangkat ke Jepun untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Perikanan. Selepas pemergian Bukhari, Sabariah menghantar Adawiyah ke Rumah Anak Yatim Sinar Harapan. Di sana, Adawiyah dibuli oleh Sari yang dengki terhadapnya. Bukan itu sahaja, Adawiyah turut diugut oleh seorang pekerja kantin di rumah berkenaan. Sejak itu, Adawiyah hidup dalam ketakutan.

Lapan tahun kemudian, Arman (Beto Kusyairy), berusia 35 tahun, kelihatan sangat tertekan dan tidak terurus wajahnya bertembung dengan Adawiyah, yang sudah berusia 21 tahun, kelihatan ayu, sopan, lembut di tepi pantai. Adawiyah kemudiannya ke sebuah banglo untuk memulakan hari pertama sebagai guru kepada anak tuan punya banglo. Sebaik sahaja tiba, Adawiyah terkejut melihat Arman, tuan rumah di banglo tersebut.

Pada mulanya, Arman tidak yakin akan kemampuan Adawiyah untuk mendidik anaknya, Liliyana, sehinggalah Arman melihat sendiri perubahan pada anaknya yang sukar menerima orang baharu sebagai guru. Arman kemudiannya teringat, dia pernah menghadiahkan gelang kayu tasbih kepada kanak-kanak di Rumah Anak Yatim Sinar Harapan. Gelang itu masih dipakai oleh Adawiyah sehingga kini. Maka, terjalinlah hubungan antara Adawiyah dan Arman demi Liliyana.

Bukhari yang pulang dari Jepun mula menternak ikan dalam sangkar di kampung halamannya, Kampung Kuala Kubu. Ketika dia dan Adawiyah sedang berbual di telefon, muncul seseorang menjerut leher Adawiyah. Di kampung, Bukhari mendengar kekecohan itu melalui telefon, dia yakin Adawiyah dalam bahaya. Apakah yang berlaku kepada Adawiyah? Siapa pula yang menyerang Adawiyah di rumah banglo milik Arman? Ada sesuatu yang masih tidak diceritakan oleh Arman kepada Adawiyah dan benarkah hubungan Arman dengan Adawiyah hanya kerana Liliyana?

Saksikan ‘Hanya Padamu’, karya pengarah Faisal Ishak bersama pelakon berbakat, Zahiril Adzim, Beto Kusyairy, Nazeera Sardi dan ramai lagi, setiap hari Jumaat jam 9.00 malam bermula 28 Disember ini di TV3 dan www.tonton.com.my.

"Aku Tidak Akan Terperangkap Selamanya"


We often said that there is no second chance, but when we had one, do not wait for the third. And here they are again, Wira Bakti student gets their second chance. But what actually happen at their new "home"? Do watch "Juvana" at the nearest cinema starting this 24th Jan 2013! 

But, before that, let's watch this video! 
Babak Kedua by Drama Band, continuity from Babak Pertama.


Tuesday, August 14, 2012

"Kau Yang Terindah" oleh Eirma Fatima


Penulisan Asal


Jenama Wanita Inspirasiku mempersembahkan sebuah lagi drama siri 28 episod menerusi slot Akasia berjudul ‘Kau Yang Terindah’. Menampilkan gabungan pelakon-pelakon berpengalaman dan muka baru yang pertama kali beraksi di layar perak bermula 6 Ogos lalu.

Neelofa, Nazim Othman, Hafil Andrio (Indonesia), Azizah Mahzan, Rahim Jelani, Hafiz Shafie, Emma Maembong, Rozie Othman dan Aliza Shahadan adalah antara nama-nama yang menjayakan drama ini bersama direktor Eirma Fatima yang turut bertindak sebagai pelakon di bawah belantika Rumah Karya Citra Sdn Bhd.


‘Kau Yang Terindah’ berkisar tentang konflik keluarga yang mempengaruhi keputusan dalam hidup termasuklah cinta. Kisah bermula apabila Munirah (Emma Maembong), kekasih kepada Hafiz (Hafiz Shafie) disahkan mengandung dan pada masa yang sama, Faikhullah (Rahim Jelani), bapa Hafiz ditahan oleh pihak polis atas tuduhan membunuh seorang GRO. Berita ini menjadi tamparan hebat buat Hafiz dan keluarga terutama ibunya, Shafiqah (Azizah Mahzan), yang seakan mula mempercayai dakwaan terhadap suaminya itu.


Hafiz sanggup bertanggungjawab atas kesilapannya terhadap Munirah namun ibu bapa Hafiz tidak bersetuju jika anak mereka berkahwin dengan Munirah kerana status keluarga Munirah. Kecewa dengan sikap Shafiqah dan Faikhullah, Hafiz bertindak melarikan diri dari rumah.


Adik Hafiz, Zara Alisha (Neelofa) pula bercinta dengan anak Bibik Mira (Erma Fatima), orang gaji mereka. Perwatakan Firman (Hafil Andrio) yang baik dan berpegang teguh pada agama berjaya memikat hati Alisha. Seperti Munirah, Firman juga tidak diterima oleh Shafiqah dan Faikhullah yang kemudiannya telah menghalau Bibik Mira serta Firman keluar dari rumah mereka.


Shafiqah dan Faikhullah memilih Shamiel (Nazim Othman), anak kawan baik mereka, Marina, untuk dinikahkan dengan Alisha sebagai jalan bagi menghalang hubungan cinta Alisha dengan Firman. Bagi Marina pula, inilah satu-satunya cara untuk mengakhiri hubungan intim Shamiel dengan bekas tunangnya, Teeya. Alisha dan Shamiel diijabkabul tanpa kerelaan mereka.


Shamiel tidak pernah menyentuh isterinya, Alisha kerana bagi Alisha, hanya Firman cinta hatinya. Sebelum berkahwin dengan Alisha, Shamiel telah berjanji untuk membantu Alisha mencari cinta sebenarnya. Suatu hari, Shamiel mengajak Alisha mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekkah. Di sana, Alisha telah bertemu dengan Bibik Mira dan Firman yang turut mengerjakan umrah.


Apakah Shamiel telah merancang semua ini untuk Alisha? Apakah hanya Firman yang mampu membahagiakan Alisha? Saksikan ‘Kau Yang Terindah’ menerusi slot Akasia, setiap Isnin hingga Khamis, jam 7.00 petang di TV3! Penonton boleh menyaksikan episod lalu di laman sesawang Tonton di
www.tonton.com.my.

-Tamat-


Saturday, August 4, 2012

"Bilik Akhir Mikhail"


Sejak akhir-akhir ini aku selalu terfikir mahu menulis sebuah cerita (tanpa memikirkan ia akan menjadi sebuah drama siri atau filem atau tele-filem ataupun novel). Namun, idea itu tidak pernah dapat direalisasikan sehinggalah suatu petang yang cukup damai bagi aku. Di hadapan sebuah kawasan penjara yang bersejarah iaitu Penjara Pudu (yang dibina pada tahun 1891 oleh penjajah British).

Bermula dari momen itu, aku memikirkan apakah yang pernah berlaku disebalik dinding dan pintu besi ini. Bagi aku, penjara tidak ubah seperti neraka buat penghuninya. Benarlah setiap pesalah harus menjalani hukuman namun kisah mereka harus kita jadikan pengajaran serta rujukan kepada kita yang hidup bebas ini.

Idea yang baru melintas di ruang otak aku ialah "Mikhail". Secara rawnya, ia mengisahkan tentang seorang yang mempunyai dua pekerjaan, pembunuh bersiri dan peladang buah anggur. Mikhail mempercayai ayahnya (seorang ahli korporat yang berjaya) telah dibunuh dengan begitu kejam oleh persaingnya. Pada hari Hassan dan pemandunya, Ibrahim dibunuh, Mikhail berjaya diselamatkan oleh individu tidak dikenali.

Mikhail dibawa ke sebuah negara padang pasir. Di situ, dia dilatih oleh George, orang yang telah menyelamat Mikhail 15 tahun dahulu. Apa yang difikirkan oleh Mikhail adalah apa yang diberitahu oleh George. Bahawasanya, terdapat komplot untuk membunuh ayah Mikhail dan Mikhail harus membalas dendam terhadap setiap seorang yang menjadi dalang itu. Kini, Mikhail menetap di selatan Australia iaitu di lereng Bukit Adelaide.

Sekadar Gambar Hiasan

Rutin harian Mikhail sama seperti penduduk tempatan lain iaitu menjadi peladang. Bezanya, Mikhail menanam buah anggur. Di sebuah kawasan bukit yang rancak dengan tanaman-tanaman lain seperti buah apple, paer dan sayur-sayuran, Mikhail memperoleh ketenangan yang diperlukannya. Di sini, Mikhail mempunyai teman rapat bernama Anna.

Bagi Anna, Mikhail adalah lelaki yang terbaik pernah ditemuinya. Dia menyimpan perasaan cinta terhadap Mikhail walaupun Mikhail tidak pernah melafazkan perasaan yang sama terhadapnya. Mikhail merupakan orang asing di daerah Adelaide, pun begitu perwatakannya sangat disenangi oleh penduduk tempatan. Selain berada di ladang, rutin Mikhail adalah membantu penduduk di situ. Namun, Mikhail sering juga 'menghilangkan diri'. Misteri ini menambah rungsi Anna, siapakah Mikhail sebenarnya? Dan ke manakah Mikhail menghilang diri?

Sepanjang ketiadaan Mikhail di Adelaide, Australia, dia sebenarnya menjalan misi membalas dendam terhadap kematian bapanya.
Segala informasi mengenai mangsa telah disediakan oleh George dan dihantar melalui pager yang telah diubah-suai agar komunikasi mereka tidak dapat dikesan. Mangsa kali ini merupakan seorang ahli korporat terkemuka Malaysia yang menjalankan perniagaan menerusi telekomunikasi dan multimedia. Mangsa dipercayai berada di Tianjin, China sempena melebarkan empayarnya ke negara Komunis itu. Apakah yang bakal berlaku seterusnya?

P/s: Ini merupakan 5% daripada hasil "Bilik Akhir Mikhail" yang saya rujuk sebagai bahan action-thriller-fiction-romance. Menggabungkan arts & commercial, karya ini dihasilkan untuk mendidik penonton/pembaca bahawa Islam dalam bahaya dan kita perlu bertindak. Mengapa saya berkata begitu? 95% lagi bahagian "Bilik Akhir Mikhail" akan menjawab segala persoalan.

Iftar bersama Juvana & Drama


IFTAR BERSAMA #Juvana & @DramaBandMY 12 Ogos ini. Contact: Black 011-15381612.