Saturday, September 3, 2011

Wira sebenar pemuda - Mat Indera

Mat Indera - Pejuang kemerdekaan yang tidak pernah dicatat di dalam buku sejarah

Tergerak hati hendak mengkaji tentang Mat Indera selepas melihat dan membaca ucapan Mat Sabu, pemimpin kanan parti pembangkang, yang disensasikan oleh media massa. Teringat kembali sewaktu di sekolah, Sejarah merupakan subjek 'makanan' buat aku. Cuma baru hari ini, 3 Sept 2011, aku berasa ditipu dan sia-sia dengan ilmu yang aku telan selama lima tahun di sekolah menengah.

Kembali berbicara tentang ceramah Mat Sabu yang mengatakan Komunis merupakan hero sebenar ketika di Bukit Kepong dan perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. Benarkah apa yang dinyatakan oleh Mat Sabu? Apabila menonton semula video ceramah tersebut, Mat Sabu tidak menyebut Komunis tetapi sebaliknya nama Mat Indera sebagai topik utama ceramah pada malam itu. Mana pula datangnya Komunis?

Oleh kerana Mat Indera tidak pernah dinyatakan di dalam buku sejarah di peringkat sekolah, aku dengan penuh semangat cuba mengkaji latar belakang pemilik nama Mat Indera ini. Seperti kebiasaan, google yang pertama akan membantu. Nasib baiklah google masih belum dirogol oleh pihak kerajaan. Siapakah beliau sebenarnya?

Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

API diharamkan kerana menentang penjajah British,
Mat Indera kental berjuang di hutan.


Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British. Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.

Mat Indera dan Bukit Kepong
Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong. Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.

Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.

P/s: Aku hanya ingin berkongsi apa yang aku perolehi. Aku tidak menyokong mana-mana parti politik tapi aku tetap rakyat Malaysia, aku takkan berhenti mencari fakta dan kebenaran.


Selamat Hari Kemerdekaan ke 54, Malaysia!

Sumber: Buku biografi Pengukir Nama Johor, terbitan Yayasan Warisan Johor (2004)

No comments:

Post a Comment