Tuesday, August 14, 2012

"Kau Yang Terindah" oleh Eirma Fatima


Penulisan Asal


Jenama Wanita Inspirasiku mempersembahkan sebuah lagi drama siri 28 episod menerusi slot Akasia berjudul ‘Kau Yang Terindah’. Menampilkan gabungan pelakon-pelakon berpengalaman dan muka baru yang pertama kali beraksi di layar perak bermula 6 Ogos lalu.

Neelofa, Nazim Othman, Hafil Andrio (Indonesia), Azizah Mahzan, Rahim Jelani, Hafiz Shafie, Emma Maembong, Rozie Othman dan Aliza Shahadan adalah antara nama-nama yang menjayakan drama ini bersama direktor Eirma Fatima yang turut bertindak sebagai pelakon di bawah belantika Rumah Karya Citra Sdn Bhd.


‘Kau Yang Terindah’ berkisar tentang konflik keluarga yang mempengaruhi keputusan dalam hidup termasuklah cinta. Kisah bermula apabila Munirah (Emma Maembong), kekasih kepada Hafiz (Hafiz Shafie) disahkan mengandung dan pada masa yang sama, Faikhullah (Rahim Jelani), bapa Hafiz ditahan oleh pihak polis atas tuduhan membunuh seorang GRO. Berita ini menjadi tamparan hebat buat Hafiz dan keluarga terutama ibunya, Shafiqah (Azizah Mahzan), yang seakan mula mempercayai dakwaan terhadap suaminya itu.


Hafiz sanggup bertanggungjawab atas kesilapannya terhadap Munirah namun ibu bapa Hafiz tidak bersetuju jika anak mereka berkahwin dengan Munirah kerana status keluarga Munirah. Kecewa dengan sikap Shafiqah dan Faikhullah, Hafiz bertindak melarikan diri dari rumah.


Adik Hafiz, Zara Alisha (Neelofa) pula bercinta dengan anak Bibik Mira (Erma Fatima), orang gaji mereka. Perwatakan Firman (Hafil Andrio) yang baik dan berpegang teguh pada agama berjaya memikat hati Alisha. Seperti Munirah, Firman juga tidak diterima oleh Shafiqah dan Faikhullah yang kemudiannya telah menghalau Bibik Mira serta Firman keluar dari rumah mereka.


Shafiqah dan Faikhullah memilih Shamiel (Nazim Othman), anak kawan baik mereka, Marina, untuk dinikahkan dengan Alisha sebagai jalan bagi menghalang hubungan cinta Alisha dengan Firman. Bagi Marina pula, inilah satu-satunya cara untuk mengakhiri hubungan intim Shamiel dengan bekas tunangnya, Teeya. Alisha dan Shamiel diijabkabul tanpa kerelaan mereka.


Shamiel tidak pernah menyentuh isterinya, Alisha kerana bagi Alisha, hanya Firman cinta hatinya. Sebelum berkahwin dengan Alisha, Shamiel telah berjanji untuk membantu Alisha mencari cinta sebenarnya. Suatu hari, Shamiel mengajak Alisha mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekkah. Di sana, Alisha telah bertemu dengan Bibik Mira dan Firman yang turut mengerjakan umrah.


Apakah Shamiel telah merancang semua ini untuk Alisha? Apakah hanya Firman yang mampu membahagiakan Alisha? Saksikan ‘Kau Yang Terindah’ menerusi slot Akasia, setiap Isnin hingga Khamis, jam 7.00 petang di TV3! Penonton boleh menyaksikan episod lalu di laman sesawang Tonton di
www.tonton.com.my.

-Tamat-


1 comment: